Muzium-Muzium Negeri Perak Darul Ridzuan
   
Sejarah Ringkas

Pusat kerajaan yang paling awal diketahui di negeri Perak ini terletak di kawasan meliputi Beruas dan Dinding (Manjung hari ini). Kerajaan awal ini dikenali sebagai Gangga Negara. Terdapat berbagai versi tradisi lisan tentang asal-usul kerajaan ini. Ada tradisi lisan yang menyebut bahawa pengasas Kerajaan Gangga Negara ialah Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah. Ada juga cerita yang menyatakan bahawa kerajaan tersebut telah dibuka oleh Raja Khmers dari Kemboja. Walau bagaimanapun, berdasarkan penemuan arca-arca Buddha, menunjukkan di abad ke- 5 dan ke-6 M wujud Kerajaan Gangga Negara ini. Kerajaan Gangga Negara telah berpusat di Beruas.

Ada juga berpendapat menyatakan bahawa Kerajaan Gangga Negara wujud tidak lewat dari abad ke-2 Masehi. Kerajaan Gangga Negara ini dipercayai terletak di daerah Dinding (Manjung) di kawasan Selatan Gunung Bubu, arah Timur Bukit Segari di tepi Sungai Dendang. Pendapat ini juga menyebut kemungkinan pusat Kerajaan Gangga Negara berubah-ubah. Dengan menggunakan jumpaan artifak-artifak purba dan pengaliran cabang Sungai Perak dipercayai pernah berpusat di Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput telah dikatakan sebahagian dari jajahan Kerajaan Gangga Negara.

Kewujudan Kerajaan Gangga Negara dan kemudiannya Kerajaan Melayu Beruas tidak dapat dinafikan oleh penyelidik sejarah pada hari ini. Kedua-dua kerajaan tua yang dikatakan pernah bertapak di bumi Beruas bukanlah suatu dongengan ataupun mitos semata-mata. Ini berikutan beberapa peninggalan kesan sejarah mengenainya yang masih wujud di beberapa kawasan negeri Perak terutamanya di Beruas.

Di Beruas beberapa penemuan artifak yang ada hubungan dan kaitan dengan peninggalan kerajaan tua itu telah ditemui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.